Apabila Najib Razak melawat ke Temasek baru-baru ini, beliau menonjolkan niat murninya untuk terus menjalinkan hubungan akrab dengan bekas negeri kita itu.
Secara sekilas pandang, isu-isu tertunggak di antara dua negara termasuk (1) Tanah Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di Singapura, (2) Pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) oleh pekerja Semenanjung Malaysia di Singapura, (3) Penggunaan ruang udara Malaysia oleh pesawat Tentera Udara Republik Singapura (RSAF), dan yang penting sekali, (4) Bekalan air kepada Singapura, ataupun tidaklah penting sangat lagi, NEWater
kan sudah ada.
Masa berlalu tanpa mu menyedari, isu-isu baru seperti jualan pasir, Batu Putih (Pedra Branca), gantian kepada Tambak Johor (Causeway, Woodlands Crossing) et cetera et cetera pula terbangkit. Kesemuanya belum diselesaikan melainkan Batu Putih yang dikurniakan kepada Dinasti Lee oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague pada 2008.
Ketika menziarahi Perdana Menteri Democratic People’s Republic of Singapore, Lee Hsien Loong di Istana Orchard Road, Najib memberi jaminan kepada Lee junior bahawa kita akan mengekalkan silaturahim antara dua negara yang diberikan nafas baru setelah Dr. Mahathir berundur.
Kalian pasti ingat, Abdullah Badawi membatalkan projek “Jambatan Indah” (Jambatan Bengkok / Scenic Bridge) yang dirancangkan Dr. Mahathir untuk menggantikan Tambak Johor sebelah Malaysia, beliau juga giat mengalu-alukan para pelabur Singapura untuk melabur dan berniaga di Iskandar Malaysia (Iskandar Development Region). Ini amat menceriakan warga Singapura yang bosan dengan karenah Dr. Mahathir yang dianggap asyik flip-flop dan senantiasa berubah mengikut emosi (atau cuaca).
Demi meneruskan persaudaraan yang rapat, Najib bukan sahaja berikrar tidak akan menghidupkan kembali sebarang rancangan menggantikan Tambak Johor, bahkan mencadangkan agar sebatang jambatan baru dibina di antara Penggerang di sebelah Timur Johor, dengan Changi di sebelah Timur Singapura.

Temasek pula menyuarakan minat untuk melanjutkan sistem keretapi bawah tanahnya, Mass Rapid Transit (MRT) ke Johor Bahru, serta melebarkan dan menaik taraf Tambak Johor, yang memang telah usang kerana sudah berumur 85 tahun, iaitu sebaya dengan Minister Mental Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, yang baru Le Tour de 1Malaysia. Dengan izin Tuhan, MRT ini diharapkan dibina dengan pertimbangan yang sewajarnya agar mampu diintegrasikan dengan sebarang sistem keretapi bawah tanah yang bakal dibina di sebelah Johor, if any.
Sambungan MRT ke Johor Bahru memang idaman ramai. Puluhan ribu warga Johor, tua dan muda, menggunakan Tambak untuk menuju ke pejabat, kilang dan sekolah, kerana peluang pekerjaan yang dianggap lebih luas (sebelum kemelut subprime), gaji yang lebih lumayan dan sistem pendidikan yang didakwa lebih bermutu.
Bayangkan, terdapat bebudak chomell yang datang sejauh Ulu Tiram terpaksa bangun pukul 4 saban hari agar tidak lewat masuk kelas. Penduduk kedua-dua kota pasti dapat menikmati manfaatnya jika rancangan tersebut termeterai.
Pada hemat saya, tidak ramai yang menentang idea sambungan MRT ke Johor Bahru, dan juga penaiktarafan Tambak Johor. Kita sebagai warga yang prihatin, amat mengalu-alukan prasarana yang lebih selesa memandangkan trafik menyeberang Selat Tebrau masa kini sudah kian sesak.
Walau bagaimanapun, seperti kata Eddin Khoo, pengulas isu semasa dan aktivis persembahan tradisional, “You may hate Mahathir, but you are nonetheless a Mahathirist.” Saya sebenarnya setuju dengan matlamat yang ingin dicapai oleh Dr. Mahathir dengan menggantikan Tambak Johor.
Sebagai tambak, dukacitanya ia telah menyekat pengaliran air di antara sebelah Timur dan Barat Selat Tebrau. Ini memudaratkan ekosistem laut di Selat Tebrau. Sebagai contoh, duyung (dugong) yang pada suatu ketika dulu sentiasa aktif berlepak di Selat Tebrau kini kian menghilang.
Sekatan ke atas pengaliran air juga bermaksud laluan pengangkutan air sudah terputus. Kapal dari Stulang yang menuju ke Pantai Lido, yang masing-masing terletak di sebelah kiri dan kanan Johor Bahru, kini terpaksa mengelilingi seluruh wilayah Dinasti Lee.
Demi agama, bangsa dan negara ekologi, ekonomi dan effisiensi, Tambak harus dirobohkan. Cuma saya keberatan untuk bersetujui dengan pendekatan bersifat bermusuhan yang diambil Dr. Mahathir. Kita inginkan kedamaian dan persahabatan, bukan berlawan sesama sendiri, sungguhpun kita boleh bersaing dari segi ekonomi, ideologi, kebebasan dan apa sahaja.

Jambatan bengkok bukan penyelesaian elok pun, memandangkan ia akan menjadi sebuah tugu peringatan mengenai betapa “diplomatik” dan “mesra” rejim Umno Barisan Nasional yang memalukan negara kita.
Tidaklah saya tersinggung sangat jika gantian kepada Tambak gagal disegerakan. Sebenarnya, Singapura pun bukan jahil sangat tentang kebaikan Tambak digantikan, cuma mungkin berhasrat memperkudakannya sebagai bargaining chip untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak lain.
Saya yakin, suatu hari nanti pasti sebuah jambatan yang indah dan lurus dapat dibina, mungkin (1) ketika BN dan PAP terguling, ataupun (2) ketika bekas negeri ini kembali ke pangkuan ibu pertiwi. Dan rasanya syarat (2) tidak mungkin berlaku selagi (1) belum ternyata.
Namun yang membimbangkan, saya ternampak kecenderungan pemerintah dan media Dinasti Lee untuk menggabungkan penaiktarafan Tambak dengan sambungan MRT. Entahlah jika ini bermakna MRT nanti akan didirikan di atas Tambak yang dinaik taraf. Jika betul, hancurlah sebarang harapan Tambak diganti suatu hari kelak.
Pasal Jambatan Ketiga di Pengerang pula, sebenarnya ia bukan satu keutamaan buat masa kini. Mungkin sektor pelancongan dan logistik akan berkembang lebih pesat jika laluan diperbanyakkan, tetapi bagaimanakah pula dengan permintaan, dengan jaraknya yang jauh dari bandar dan kadar tol yang sudah pasti takkan murah?
Kedudukan yang jauh sekali dari kegiatan ekonomi akan memastikan adalah mustahil ia menjadi pilihan popular. Walaupun Second Link (Tuas Crossing) juga bukan pilihan terutama kebanyakan pengunjung, sekurang-kurangnya ia memungkinkan laluan yang lebih menjimat masa kepada pemamdu Singapura yang ingin menuju ke Utara seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang (dan bukan Johor Bahru), melalui Lebuhraya Utara-Selatan.
Jambatan Ketiga di Pengerang pula tidak menguntungkan sesiapa, melainkan jika seseorang pelancong asing yang pesawatnya mendarat di Changi ingin terus mengunjung ke Desaru atau Tioman, ataupun ikan dan udang yang malas nak berenang, itu je. Tolonglah mengamalkan lebih sedikit prudence dalam mengendalikan dana awam.
Bagi kebanyakan kita, laluan yang terus menghubungkan kedua-dua kota tetap menjadi keutamaan, baik jambatan moden yang lurus, perkhidmatan MRT yang cekap atau kedua-duanya sekali.
Tahap kita memerlukan Jambatan Ketiga lebih kurang sama dengan Masjid Kristal rasanya. Mungkin ada baiknya kerajaan belanjakan sedikit duit untuk menyiasat apakah yang telah berlaku kepada bumbung Stadium Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dahulu.